Apakah jenis-jenis saham yang ada?
Stok boleh dikategorikan kepada beberapa jenis berdasarkan pelbagai kriteria. Memahami kategori ini membantu pelabur membina portfolio yang rencam (diversified) sejajar dengan matlamat kewangan dan toleransi risiko mereka. Berikut beberapa jenis saham yang utama:
Saham biasa
Ini adalah jenis saham yang paling lazim. Pemegang saham biasa mempunyai hak mengundi dalam mesyuarat pemegang saham dan boleh menerima dividen, tetapi mereka adalah yang terakhir untuk menuntut aset sekiranya berlaku pembubaran.
Saham keutamaan
Saham keutamaan lazimnya tidak menawarkan hak mengundi tetapi memberikan dividen tetap dan mempunyai hak tuntutan aset yang lebih tinggi berbanding saham biasa semasa pembubaran. Ia boleh dilihat sebagai hibrid antara bon dan saham.
Saham pertumbuhan
Saham jenis ini adalah saham syarikat-syarikat yang dijangka berkembang dengan kadar melebihi purata berbanding dengan saham syarikat-syarikat lain di pasaran. Syarikat-syarikat ini biasanya memilih untuk melaburkan semula keuntungan ke dalam perniagaan berbanding membayar dividen, dengan tujuan untuk meningkatkan modal.
Saham nilai
Nilai saham (value stocks) adalah saham daripada syarikat-syarikat yang kelihatan "undervalued" padahal nilai intrinsik mereka lebih tinggi. Pelabur membeli saham-saham ini dengan jangkaan bahawa harga mereka akan meningkat apabila pasaran mengiktiraf nilai sebenar mereka.
Saham dividen
Ini adalah saham daripada syarikat-syarikat yang kerap membayar dividen kepada pemegang saham. Ia menarik minat para pelabur yang mengutamakan pendapatan dan mahukan aliran tunai yang stabil.
Saham cip biru
Saham cip biru adalah saham daripada syarikat-syarikat besar dan mantap dengan sejarah prestasi dan kestabilan kewangan yang andal (reliable). Ia sering dilihat sebagai pelaburan yang selamat.
Saham murah
Saham murah (penny stocks) adalah saham-saham berharga rendah, biasanya didagangkan pada harga kurang daripada $5 sesaham. Walaupun saham jenis ini menawarkan potensi pulangan yang tinggi, ia juga datang bersama risiko yang ketara disebabkan oleh turun naik dan kecairan yang lebih rendah.
Saham sektor
Saham juga boleh dikategorikan berdasarkan industri atau sektor yang diceburi syarikat berkenaan, seperti teknologi, penjagaan kesihatan, kewangan, atau barangan pengguna.
Pasaran saham
Pasaran saham adalah sistem yang kompleks di mana saham syarikat-syarikat yang didagangkan secara awam dibeli dan dijual. Ia berfungsi sebagai platform bagi syarikat-syarikat untuk mendapatkan modal dengan menerbitkan saham dan bagi membolehkan pelabur membeli pemilikan dalam syarikat-syarikat ini dengan jangkaan pulangan kewangan. Pasaran saham terbahagi kepada dua segmen utama: pasaran primer dan sekunder.
Di pasaran primer, syarikat menerbitkan saham-saham baharu melalui tawaran awam permulaan (IPO) untuk mendapatkan modal yang diperlukan untuk pertumbuhan atau pengembangan aktiviti syarikat. Di pasaran sekunder, saham-saham yang sedia ada didagangkan antara sesama pelabur. Di sinilah majoriti aktiviti perdagangan berlaku, biasanya di bursa saham seperti Bursa Saham New York (NYSE) atau NASDAQ.
Harga saham di pasaran turun naik berdasarkan dinamik penawaran dan permintaan, dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk prestasi syarikat, indikator ekonomi, kadar faedah, dan sentimen pasaran. Pelabur menganalisis faktor-faktor ini menggunakan beberapa kaedah yang berbeza, seperti analisis fundamental (melihat kemantapan kewangan syarikat) dan analisis teknikal (mengkaji pergerakan harga dan volum urusniaga perdagangan).
Pasaran saham juga memainkan peranan penting dalam ekonomi dengan menyediakan syarikat akses kepada dana dan membolehkan pelabur mengambil bahagian dalam pertumbuhan organisasi ini. Indeks seperti S&P 500 atau Dow Jones Industrial Average, menjejaki prestasi kumpulan saham tertentu, memberikan gambaran yang menyeluruh tentang trend pasaran.
Walaupun pelaburan di pasaran saham boleh menghasilkan pulangan yang tinggi, ia juga hadir dengan risiko, kerana harga saham mampu meruap tidak menentu dan terjejas akibat daripada peristiwa yang tidak dijangka, seperti kemerosotan ekonomi atau ketegangan geopolitik. Oleh itu, ramai pelabur mengamalkan pelbagai strategi untuk mengurus risiko, seperti mempelbagaikan portfolio mereka atau melabur untuk jangka panjang. Akhir sekali, pasaran saham berfungsi sebagai komponen penting ekonomi global, memudahkan aliran modal dan menyediakan peluang untuk menjana kekayaan.
Bilakah syarikat menerbitkan saham?
Menerbitkan saham adalah satu keputusan strategik yang membantu syarikat menyokong inisiatif pertumbuhan mereka, mengurus struktur kewangan, dan memberi ganjaran kepada para pemilik syarikat.
Syarikat menerbitkan saham untuk mengumpul modal bagi pelbagai tujuan penting untuk pertumbuhan dan operasi mereka. Berikut adalah beberapa sebab utama saham diterbitkan:
Pengembangan pembiayaan | Syarikat sering memerlukan dana yang besar untuk mengembangkan operasi mereka, menceburi pasaran baharu, atau membangunkan produk baharu. Menerbitkan saham membolehkan mereka mengakses modal yang diperlukan tanpa berhutang. |
Meningkatkan aliran tunai | Dengan menjual saham, syarikat boleh meningkatkan aliran tunai mereka, yang boleh digunakan untuk operasi harian, membayar liabiliti sedia ada, atau melabur dalam penyelidikan dan pembangunan. |
Menarik pelabur | Menerbitkan saham boleh menarik pelbagai pelabur, yang bukan sahaja menyediakan modal tetapi juga kepakaran dan jaringan bisnes yang berharga. |
Memberi insentif kepada pekerja | Kebanyakan syarikat menawarkan saham atau opsyen saham sebagai sebahagian daripada pakej ganjaran pekerja. Ini membantu menarik dan mengekalkan bakat sambil menyelaraskan kepentingan pekerja dengan kepentingan pemegang saham. |
Mengurangkan hutang | Syarikat boleh menyusun semula struktur modal mereka dengan menggunakan ekuiti yang diperoleh untuk membayar pinjaman atau kewajipan lain, dengan itu mengurangkan leveraj kewangan. |
Menyediakan kecairan | Penerbitan saham memberikan bagi pelabur dan pengasas syarikat cara untuk mengewangkan (monetize) sebahagian daripada pelaburan sambil terus mengekalkan kepemilikan mereka. |
Apakah manfaat dan risiko saham?
Pelaburan saham menawarkan beberapa manfaat dan membawa risiko tertentu.
Pelabur perlu mempertimbangkan toleransi risiko, matlamat pelaburan, dan jangka masa pelaburan mereka dengan teliti apabila membuat keputusan untuk melabur dalam saham, selalunya menggunakan pendekatan yang pelbagai untuk menguruskan risiko.
Ini gambarannya secara ringkas:
Manfaat saham
Potensi pulangan yang tinggi
Secara historikalnya, saham memberikan pulangan jangka panjang yang lebih tinggi berbanding pelaburan lain, seperti bon atau hartanah.
Pemilikan
Membeli saham bermaksud membeli sebahagian pemilikan dalam syarikat, memberikan pelabur hak kepentingan ke atas keuntungan dan pertumbuhan syarikat.
Pendapatan dividen
Sebahagian besar syarikat membayar dividen kepada pemegang saham, menyediakan sumber pendapatan tetap sebagai tambahan kepada keuntungan modal daripada kenaikan harga saham.
Kecairan
Saham biasanya didagangkan di bursa, menjadikannya agak mudah untuk dibeli dan dijual berbanding dengan hartanah atau pelaburan lain.
Lindung nilai inflasi
Saham boleh bertindak sebagai lindung nilai (hedging) melawan inflasi, kerana syarikat boleh memindahkan kenaikan kos kepada pengguna dengan menaikkan harga, yang berpotensi meningkatkan keuntungan.
Kepelbagaian
Melabur dalam pelbagai saham boleh membantu mempelbagaikan portfolio, mengurangkan risiko keseluruhan pelaburan.
Risiko-risiko saham
Kemeruapan pasaran
Harga saham boleh turun naik dengan ketara dalam jangka pendek disebabkan oleh situasi pasaran, indikator ekonomi, dan sentimen pelabur, yang boleh membawa kepada kerugian.
Risiko berkaitan dengan syarikat
Prestasi yang lemah, keputusan pengurusan, atau perubahan dalam industri boleh memberi kesan negatif kepada harga saham syarikat.
Tiada jaminan pulangan
Tidak seperti bon, saham tidak menjamin pulangan atau pembayaran dividen. Pelabur boleh kehilangan keseluruhan pelaburan mereka jika syarikat muflis atau berprestasi buruk.
Membuat keputusan secara emosi
Pelabur mungkin dipengaruhi oleh emosi, yang membawa kepada keputusan impulsif semasa pasaran turun naik, berpotensi menyebabkan kerugian.
Sensitiviti ekonomi
Saham sensitif terhadap kemerosotan ekonomi, mengurangkan permintaan untuk barangan dan perkhidmatan, yang boleh memberi kesan negatif kepada keuntungan syarikat dan harga saham.
Kurang kawalan
Pelabur tidak mempunyai kawalan ke atas operasi atau keputusan syarikat, yang boleh membawa kepada natijah yang memberi kesan negatif kepada prestasi saham.
Cara untuk mula berjinak-jinak dengan saham

Pada peringkat awal, saham mungkin tampak menakutkan, tetapi dengan pendekatan yang berstruktur, anda boleh menempuh fasa ini dengan efektif. Berikut beberapa langkah yang boleh membantu anda memulakan penerokaan anda dalam pelaburan:
1. Belajar
Ketahui asas-asas pelaburan dan saham
Memahami konsep asas seperti saham, bon, dividen, pesanan pasaran (market orders) dan peruntukan aset. Sumber seperti buku, kursus dalam talian, dan laman web berita kewangan adalah sumber yang sangat berharga.